PEMULIH – PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI (PEMULIH)

PEMULIH – PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI (PEMULIH)

This post is part of the series pemulih

Pemulih – Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih)

Pemulih - Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih)

Pemulih – Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi – TEKS UCAPAN

PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI (PEMULIH) 28 JUN 2021 (ISNIN), BERSAMAAN 17 ZULKAEDAH 1442H
MUKADIMAH

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASIN PERDANA MENTERI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

  1. Izinkan saya memulakan bicara pada hari ini, dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala bahawa Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui atas segala-galanya, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
  2. Mengambil ibrah petikan doa yang sering diungkapkan dalam ayat ke-10, Surah al-Kahfi,

“Sesungguhnya kami memohon rahmat dari sisi-Mu Ya Allah, kami memohon dipermudahkan atas segala urusan dan kami memohon keselamatan atas segalanya”.

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

  1. Pada 15 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara atau PPN sebagai suatu panduan atau roadmap peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan secara berfasa. Pelan ini membolehkan saudara dan saudari membuat perancangan yang sejajar dengan langkah-langkah Kerajaan untuk melawan COVID-19 dan memulihkan negara.
  2. Peralihan secara berperingkat ini merangkumi empat fasa dan bersandarkan kepada tiga indikator: pertamanya bilangan kes harian COVID-19, kedua, kadar penggunaan katil di wad ICU, dan ketiga, peratusan rakyat yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
  3. Sehingga kini, ketiga-tiga indikator ini masih belum mencapai nilai ambang untuk kita beralih daripada fasa pertama ke fasa kedua. Kes harian COVID-19 masih berada pada paras melebihi 4 ribu kes sehari atau bersamaan dengan 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk.
  4. Namun begitu, walaupun secara keseluruhan nilai ambang nasional belum tercapai, pelaksanaan PPN fasa pertama telah menunjukkan beberapa perkembangan positif. Bilangan kes harian COVID-19 telah berada di bawah

paras 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk di sembilan negeri dan hampir semua negeri setakat ini lebih 10 peratus penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

  1. Mengambil kira situasi semasa terutamanya kemunculan varian baharu yang lebih ganas, Kerajaan sedar bahawa kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK perlu ditingkatkan supaya lebih ramai lagi boleh divaksin dengan segera. Sementara itu agenda prihatin dan keselamatan rakyat akan diteruskan, dan sektor perniagaan perlu terus disokong.
  2. Yang saya boleh janjikan hari ini, biarpun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan saudara dan saudari semua. Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19. Hari ini, saya ingin menyampaikan beberapa pengumuman penting dan insha-Allah akan ada beberapa perkhabaran baik buat semua.

PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI – PEMULIH

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  1. Saya tahu dan saya faham bahawa ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan pada masa ini kerana kehilangan pekerjaan dan tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa. Pengusaha kedai makan dan restoran menanggung rugi kerana ketiadaan pelanggan. Tukang rumah dan pekerja kontrak hilang pendapatan kerana sektor pembinaan bukan kritikal tidak dibenarkan beroperasi. Begitu juga pemilik kedai gunting rambut, kedai pakaian,

pusat cuci kereta, peniaga pasar malam dan lain-lain yang tidak boleh menjalankan perniagaan. Banyak individu, syarikat dan perniagaan yang terjejas kerana sektor mereka tidak dibenarkan beroperasi.

  1. Kerana itu, sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, Kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah 380 bilion ringgit. Setakat ini, sebanyak lebih 200 bilion ringgit telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta
    2.4 juta perniagaan. Belanjawan 2021 pula bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini.
  2. Maka, pada hari ini pula, sukacita saya ingin umumkan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH.
  3. Nilai keseluruhan pakej PEMULIH berjumlah 150 bilion ringgit merangkumi suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 10 bilion ringgit. PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

FOKUS PERTAMA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT

Saudara dan saudari yang dikasihi,

  1. Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga hujung tahun ini,

Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah 10 bilion ringgit. Bantuan Tunai langsung ini merangkumi:

  1. Pertama, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun. Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara 100 hingga 1,400 ringgit akan dibayar pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes- kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit.
  2. Kedua, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, sukacita saya umumkan, pemberian Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori seperti berikut:

• Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan November;

• Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan

• Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.

• Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.

  1. Ketiganya ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan. Pada bulan Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021. Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.
  2. Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya. Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan mendatang, insya-Allah.
  3. Saya sedar kehidupan ramai di kalangan saudara-saudari yang terjejas teruk akibat lebih setahun berperang dengan pandemik COVID-19. Walaupun berjuta rakyat Malaysia telah menerima manfaat bantuan tunai dari Kerajaan sejak Mac 2020 dan ramai lagi menerima bantuan kerajaan dalam bentuk yang pelbagai, saya faham bantuan perlu terus dipertingkat selagi kemelut ini berlanjutan.
  4. Ada yang terpaksa meminjam beras dari jiran, diusir dari rumah sewa, makan sekali sehari mengikat perut. Ada yang meminjam wang dari saudara mara dan sahabat yang lebih berkemampuan untuk membeli barangan dapur. Semuanya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Kerajaan mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul saudara-saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya mampu.

  5. Seterusnya, Kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya 300 ringgit.
  6. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 125 juta ringgit melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan. Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.

Saudara dan saudari,

  1. Kerajaan sedar bahawa barangan keperluan asas amat penting bagi golongan yang memerlukan. Maka, sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak 300 ribu ringgit kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang,

untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing. Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik. Baik Ahli Parlimen Kerajaan atau Pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan. Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing. Selain itu, 10 juta ringgit juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

  1. Kerajaan komited untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup. Kita akan meneruskan dasar pengawalan harga barang perlu. Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka melibatkan subsidi melebihi enam bilion ringgit tahun ini. Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, Kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi 30 ringgit sebotol.
  2. Selain itu, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak satu bilion ringgit. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

  3. Sejak dilanda pandemik ini, kita banyak mendengar mengenai masalah sosial. Antaranya termasuklah masalah tekanan mental dan emosi. Kerajaan

akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan 15 juta ringgit kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO dalam membantu Kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Saudara dan saudari,

  1. Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan. Antaranya, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan. Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah 346 juta ringgit dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.

  2. Selain itu, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021. Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, Kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak 1 bilion ringgit.
  3. Selanjutnya berkaitan kesalinghubungan digital. Ketika ini kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir semua aktiviti harian,

termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan Kerajaan serta swasta. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai 500 juta ringgit bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.

  1. Selain itu, perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai. Bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan, Kerajaan akan menawarkan peruntukan sebanyak 18 juta ringgit untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar. Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang; pembayaran bil serta perbankan digital.

FOKUS KEDUA: MENYOKONG PERNIAGAAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  1. Fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan. Kerajaan sedar, dalam fasa pertama dan kedua PPN, kebanyakan premis perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan

perniagaan dalam kedua-dua fasa-fasa ini. Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

  1. Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong kelangsungan perniagaan atau business survival dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi. Secara keseluruhan Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 5.1 bilion ringgit melalui inisiatif GKP. Terkini, di bawah PEMERKASA Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak 1 ribu ringgit kira-kira dua minggu lepas, dan bakal mendapat 500 ringgit lagi pada pertengahan bulan Julai nanti.
  2. Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak 500 ringgit akan dibayar pada bulan September dan 500 ringgit lagi pada bulan November 2021.
  3. Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka, Insya-Allah. Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti.

Saudara dan Saudari,

  1. Sejak Program Subsidi Upah atau PSU diperkenalkan, Kerajaan telahpun membelanjakan lebih 15 bilion ringgit bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja. Memandangkan respon positif berhubung program ini, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.
  2. Melalui inisiatif PSU 4.0, Kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.
  3. Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah 4 ribu ringgit, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih 4 ribu ringgit.
  4. Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP. Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak 425 juta ringgit.
  5. Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai penciptaan pekerjaan, penawaran latihan dan peningkatan pendapatan pekerja. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 243 ribu peluang pekerjaan berjaya diwujudkan. Di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan mencipta peluang- peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri.
  6. Melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan telah menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu. Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah disalurkan yang telah dimanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja.
  7. Memandangkan PenjanaKerjaya ini dijadual berakhir pada akhir Jun ini, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200 ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan. Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan.

Saudara dan saudari,

  1. Seterusnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200 ribu usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah 1.8 bilion ringgit.
  2. Sehubungan itu, bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan 200 juta ringgit untuk PMKS dan 100 juta ringgit untuk PKS.

Pertama: Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go- eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;

Kedua: Menambah peruntukan sebanyak 100 juta ringgit di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga 5 ribu ringgit untuk pembelian sistem atau langganan platform digital;

Ketiga: Menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e- dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital; dan

Keempat: Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. Program ini yang akan dilaksanakan

melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

  1. Saya juga mendengar keluhan golongan karyawan, artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater, penulis dan krew produksi yang turut terkesan ekoran syarat PKP yang tidak membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti seni dan persembahan ketika ini.
  2. Maka, bagi membantu lebih 8 ribu penggiat seni dan terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan, Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan. Peruntukan ini antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu.
  3. Di samping itu, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula. Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah 3 ribu ringgit kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
  4. Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi

memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika.

  1. Kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian. Kerajaan bersetuju bantuan kewangan sebanyak 1 ribu ringgit diberikan kepada semua pengusaha kantin berdaftar.
  2. Selanjutnya, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada mereka.
  3. Bagi membantu golongan kurang upaya yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan 500 ringgit seorang untuk tempoh tiga bulan. Untuk itu, 30 juta ringgit diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU.
  4. Kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing golongan OKU dan gelandangan dalam perniagaan. Sejumlah 20 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40 ribu individu.

Saudara dan Saudari,

  1. Saya juga ingin memaklumkan di sini, Kerajaan akan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan seperti berikut:

Pertama: Membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan sehingga 31 Disember 2021;

Kedua: Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik; dan

Ketiga: Membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak.

  1. Seterusnya kepada 9 ribu usahawan MARA yang turut terjejas akibat COVID-19, Kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka membuat permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.
  2. MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021. Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada

inisiatif ini. Saya menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat GLC dan PBT turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan.

  1. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai.

Saudara – saudari yang dikasihi,

  1. Sebagai langkah berterusan untuk membantu sektor PKS kekal relevan dan berdaya saing, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad atau SJPP telahpun meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan di bawah SJPP sebanyak 10 bilion ringgit bagi tahun 2021 kepada 36.5 bilion ringgit. Sehingga 24 Jun 2021, SJPP telah memberikan jaminan bagi pembiayaan bernilai
    33.4 bilion ringgit kepada lebih 45 ribu buah syarikat.
  2. Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, Kerajaan akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak 20 bilion ringgit menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 56.5 bilion ringgit.
  3. Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS. Sehingga kini, masih terdapat
    6.6 bilion ringgit baki sedia ada daripada keseluruhan 25.1 bilion ringgit yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon baharu. Melalui pakej

PEMULIH hari ini, BNM bersetuju untuk menambah dua bilion ringgit lagi menjadikan baki dana ini berjumlah 8.6 bilion ringgit. Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka.

  1. Bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga 1.1 bilion ringgit. Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah 500 juta ringgit, dan TEKUN sebanyak 100 juta ringgit. Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak 3 bilion ringgit dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro.
  2. Institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan 20 juta ringgit bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi. Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi.
  3. Di samping itu, sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, Kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar.
  4. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai

pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini. Seterusnya, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, Kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan.

Pelaksanaan i-Citra and Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Bank

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang dikasihi,

  1. Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Kita telah menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seumpama ini. Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat sehingga kini.
  2. Maka dengan itu, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat PKP, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga 5 ribu ringgit dengan kadar bayaran tetap 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli. Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.
  3. Hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli- ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.
  4. Selanjutnya, saya ingin mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman yang boleh dimanfaatkan oleh semua dalam tempoh yang sukar ini.
  5. Bagi membantu para peminjam pendidikan, sukacita saya umumkan bahawa beberapa agensi Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran antaranya:

Pertama: memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;

Kedua: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan;

Ketiga: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan; dan

Keempat: menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

Bagaimanakah Proses Perwarisan Perniagaan Saham Biasa Di Buat Oleh Usahawan

https://www.perwarisanperniagaan.com/proses-perwarisan-perniagaan/

  1. Selanjutnya, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak 2.6 bilion ringgit.
  2. Akhir sekali, tentunya berhubung pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman bank. Semasa pengumuman pakej bantuan PEMERKASA Tambahan, Kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar. Setakat ini, lebih daripada 250 ribu peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik. Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.
  3. Kerajaan faham keresahan rakyat pada masa ini. Ramai yang terjejas dan ini bukanlah melibatkan golongan B40 sahaja. Saya banyak mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat COVID-19.
  4. Oleh itu, sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
  5. Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain.

FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN VAKSINASI

Saudara-saudari yang dikasihi,

  1. Fokus ketiga kerajaan ini mempercepatkan program vaksinasi. Statistik sehingga 26 Jun 2021 menunjukkan, sejumlah 7 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang. Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
  2. Alhamdulillah, kita juga telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200 ribu sehari dalam tempoh 7 hari lalu. Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini.
  3. Melihat kepada pencapaian ini, Kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat. Sehubungan itu, bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK akan terus diperkasa.
  4. Justeru, sukacita saya umumkan beberapa inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan seperti berikut:
  5. Pertama: Bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah 400 juta ringgit diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara. Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.
  6. Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun. Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan.
  7. Saya juga ingin tegaskan, Kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. Ia telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.
  8. Kedua: Sehingga hari ini, Kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT. Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, Kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to- Home dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 200 juta ringgit.
  9. Sebagai contoh, saya telah mengunjungi program MyMedic @ Wilayah Mobile Vaccination di PPR Sri Johor, Kuala Lumpur yang menumpukan warga emas dan gelandangan serta penggunaan beberapa unit bas bergerak ke kawasan luar bandar yang melibatkan program imunisasi Orang Asli dan beberapa PPV pandu-lalu di IPTA. Baru-baru ini, saya juga berkesempatan mengunjungi PPV OKU-pandu lalu OKU Sentral di Ara Damansara, yang pertama seumpanya di dalam negara.
  10. Ketiga: Beberapa hari yang lalu, saya telah umumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada 50 ringgit kepada 100 ringgit sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021. Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin. Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.
  11. Sebagai tambahan, sukacita daya umumkan, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14 ribu barisan hadapan

kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada 200 ringgit kepada 600 ratus ringgit selama enam bulan bermula Julai 2021. Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 200 juta ringgit. Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta.

  1. Keempat: MITI telah menyelaras Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja. Kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan. Kerjasama ini penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik.
  2. Sehubungan itu, bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah 150 juta ringgit akan disediakan. Di bawah inisiatif ini, antara lainnya:

• Kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID- 19;

• Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-

19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV; dan

• Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin.

  1. Kelima: Bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan. Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga 30 ringgit atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka.
  2. Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga ini berjumlah 1 bilion ringgit.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

  1. Saya amat memahami keresahan yang dirasai oleh saudara dan saudari ketika ini. Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri sentiasa memikirkan keluh-kesah dan kesusahan yang dialami oleh anda semua dan mencari jalan untuk mengatasinya.
  2. Kerajaan tetap terus bergerak, berjuang dan berusaha keras setiap masa, sekalipun dalam keterbatasan, untuk memastikan negara kekal berada pada

landasan pemulihan yang tepat dan nasib anda semua terus terbela. Biarpun diuji setiap segi, Kerajaan berikrar akan terus cekal memberikan khidmat terbaik buat anda semua.

  1. Saya ingin tegaskan, Kerajaan sentiasa mendengar dan menerima pandangan semua pihak dengan hati terbuka, memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, berusaha dan berikhtiar mencari jalan keluar dari kemelut pandemik ini. Percayalah, kerajaan akan terus membantu sedaya mampu supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi.
  2. Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan COVID-19. Bagi mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, segeralah menunaikan kewajipan anda untuk kebaikan kita bersama. Berilah kerjasama penuh dan juga sedikit masa bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya Pelan Pemulihan ini berjaya dilaksanakan. Lindung diri, lindung semua.
  3. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kepada-Mu jualah kami memohon pertolongan dan Engkau lah sebaik-baik pelindung.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1

Scroll to Top